FAIQ (tengah) ketika diperkenalkan sebagai pemain terbaru Chonburi FC. FOTO Chonburi FC
FAIQ (tengah) ketika diperkenalkan sebagai pemain terbaru Chonburi FC. FOTO Chonburi FC
Agensi

Bangkok: Faiq Bolkiah memperoleh talian hayat apabila menyertai kelab Thailand, Chonburi FC selepas dilepaskan oleh Maritimo.

Pemain berusia 23 tahun itu yang mempunyai nilai kekayaan sebanyak £13 bilion (RM73 bilion) adalah anak saudara kepada Sultan Brunei.

Faiq yang pernah menyertai akademi Southampton, Chelsea dan Leicester, berhijrah ke kelab Maritimo pada tahun lalu.

Bagaimanapun dia dilepaskan oleh kelab Portugal itu awal bulan ini tanpa melakukan sebarang penampilan dengan pasukan utama.

Faiq bagaimanapun tidak mengambil masa yang lama apabila kembali aktif dalam kancah bola sepak dengan menyertai Chonburi.

Kelab itu ketika ini menduduki tangga ketiga liga utama Thailand, hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Buriram United.

Di sebalik kekayaannya itu, bos Chonburi, Sasit Singtothong menegaskan pemain itu ditandatangani kerana kualiti yang ada padanya dan bukan mengambilkira latar belakangnya.

Dia memberitahu laman web kelab: "Amat menarik apabila pasukan ini memperoleh pemain yang menjadi tumpuan media di seluruh dunia.

"Dia adalah pemain bola sepak terkaya di dunia tetapi itu adalah ketika di luar padang.

"Kami memilihnya berdasarkan kepada potensi yang ada padanya. Dia tidak mahu layanan istimewa."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 11:32 AM