PEMAIN City meraikan gol Ake (dua dari kanan) ketika mereka menumpaskan Leeds 7-0 pagi tadi. FOTO AFP
PEMAIN City meraikan gol Ake (dua dari kanan) ketika mereka menumpaskan Leeds 7-0 pagi tadi. FOTO AFP
AFP

London: Manchester City melebarkan jurang kepada empat mata di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Kevin De Bruyne membantu kelabnya membelasah Leeds 7-0 hanya beberapa jam selepas peraturan ketat dikuatkuasakan bagi membendung penularan Covid-19.

De Bruyne menampilkan persembahan menakjubkan termasuk meledak dua gol selepas disenaraikan dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak 6 November kerana dijangkiti Covid-19.

Phil Foden, Jack Grealish, Riyad Mahrez, John Stones dan Nathan Ake juga mencetak nama sebagai penjaring ketika skuad Pep Guardiola kenduri gol di Stadium Etihad.

Kemenangan ketujuh berturut-turut City dalam saingan EPL meletakkan tekanan terhadap pasukan tangga kedua, Liverpool dan Chelsea, yang masing-masing akan berdepan Newcastle serta Everton awal pagi Jumaat ini.

Sementara itu, Aston Villa tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Norwich 2-0 hasil jaringan Jacob Ramsey pada minit ke-35 sebelum Ollie Watkins mengesahkan kemenangan pasukan bimbingan Steven Gerrard.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 7:58 AM