KEHADIRAN Cools akan memperkuatkan skuad negara di Piala AFF. FOTO Agensi
KEHADIRAN Cools akan memperkuatkan skuad negara di Piala AFF. FOTO Agensi
Oleh Firdaus Hashim


Singapura: Pemain kacukan yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools dijangka tiba di Singapura Rabu ini bagi menguatkan cabaran skuad Harimau Malaya di saingan Piala AFF di sini, ketika ini.

Cools, 25, yang masih mempunyai komitmen bersama FC Midtjylland dalam suku akhir kedua Piala Denmark awal pagi tadi, dijangka akan terus terbang ke Kota Singa bagi menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Menurut Cheng Hoe, kehadiran tonggak pertahanan tengah itu sememangnya dinantikan bagi memberi keseimbangan kepada pasukan negara.

Keseimbangan yang dimaksudkan oleh jurulatih berusia 53 itu adalah disebabkan kebolehan Cools bermain di beberapa posisi, antaranya pertahanan dan bahagian tengah ketika kem negara kini sedang berdepan krisis kekurangan pemain selepas empat pemain didapati positif Covid-19.

Malah, pengalaman beraksi di tahap tertinggi sejak remaja bersama kelab-kelab terkemuka Belgium dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Europa boleh dicurahkan bagi membantu pasukan.

"Selepas aksi dengan Vietnam, Dion Cools akan menyertai kita untuk seimbangkan pasukan dan sudah tentu kita tahu pasukan perlukan pemain yang bebas dari masalah kesihatan untuk aksi penting dengan Indonesia nanti," kata Cheng Hoe yang berasal dari Kedah.

Sebelum ini Cools sudah membuat tiga penampilan bersama skuad Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lalu.

Walaupun baru menyertai pasukan, namun dia dapat menyesuaikan diri dan pantas mencipta keserasian bersama pemain lain khususnya di bahagian pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 12:26 PM