Pemain Villarreal meraikkan kejayaan menewaskan pasukan Atalanta. FOTO EPA
Pemain Villarreal meraikkan kejayaan menewaskan pasukan Atalanta. FOTO EPA
AFP

Bergamo, Itali: Arnaut Danjuma meledak dua gol ketika Villarreal menewaskan Atalanta, 3-2 pagi ini dalam saingan dijadual semula selepas salji tebal seterusnya mengesahkan tempat terakhir ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain skuad kebangsaan Belanda itu meletakkan pelawat di depan pada minit ketiga dan Etienne Capoue menggandakan kelebihan sebelum rehat separuh masa di Bergamo.

Danjuma meledak sekali lagi pada awal babak kedua tetapi Villarreal terpaksa bertahan apabila Atalanta membalas menerusi gol Ruslan Malinovskyi dan Duvan Zapata selain tiga cubaan terkena palang.

Penyerang Atalanta, Duvan Zapata cuba memintas pemain Villarreal pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Penyerang Atalanta, Duvan Zapata cuba memintas pemain Villarreal pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP

Villarreal menamatkan saingan selaku naib juara Kumpulan F di belakang Manchester United, dengan Atalanta akan bermain dalam pusingan kalah mati Liga Europa pada Februari.

Beraksi dalam suku akhir dua musim lalu, Atalanta perlukan kemenangan untuk kembali di atas Villarreal dalam kumpulan namun membuat permulaan mengecewakan di utara Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 8:06 AM