AFP

London: Perlawanan Liga Konferensi membabitkan Tottenham menentang Rennes awal pagi esok ditangguhkan berikutan penularan kes Covid-19 di kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Bos Tottenham, Antonio Conte sebelum ini mendedahkan semalam lapan pemainnya dan lima kakitangan mereka disahkan positif Covid-19.

UEFA membenarkan perlawanan membabitkan Rennes diteruskan di utara London jika Tottenham mempunyai minimum 13 pemain namun penularan wabak berkenaan menyebabkan perubahan terpaksa dilakukan.

"Kami mengesahkan aksi Kumpulan G Liga Konferensi Europa di laman sendiri menentang Stade Rennais ditangguhkan selepas peningkatan kes positif Covid-19 di kelab," menurut kenyataan Tottenham.

"Perbincangan sedang dijalankan bersama UEFA dan kami akan memaklumkan maklumat lanjut berkenaan perlawanan termasuk mengambil beberapa langkah wajar.

"Sebagai tambahan... kelab dinasihatkan menutup kawasan pasukan utama di pusat latihan ketika ini dalam usaha menjaga kesihatan dan keselamatan pemain dan staf. Semua kawasan lain pusat latihan beroperasi seperti biasa."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 9:57 AM