Jemaah masjid As-Solehin Kampung Paya Rumput melancarkan program jutaan selawat dan pengkisahan sirah sempena sambutan Maulidur Rasul. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Jemaah masjid As-Solehin Kampung Paya Rumput melancarkan program jutaan selawat dan pengkisahan sirah sempena sambutan Maulidur Rasul. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar
am@hmetro.com.my


Melaka: Walaupun sambutan Maulidur Rasul amat berbeza berbanding sebelum pandemik Covid-19, namun ia bukan halangan

ahli jawatankuasa Masjid As-Solehin Kampung Paya Rumput mengadakan program amalan jutaan selawat membabitkan jemaah kawasan berkenaan.

Pengerusi masjid itu Datuk Wira Yasin Sarif berkata, pihaknya tidak mahu ketinggalan meraikan sambutan Maulidur Rasul melalui pendekatan 1,000 bacaan selawat dalam kalangan jemaah setiap hari.

Katanya, bacaan selepas solat Isyak itu dibaca beramai-ramai secara serentak sepanjang bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW yang kini sudah mencecah dua juta selawat.

Menurutnya, dia menjangkakan lebih 10 juta selawat dapat dilaksanakan oleh jemaah kampung itu selain tambahan bacaan beramai-ramai diadakan selepas selesai Solat Subuh.

"Sempena Maulidur Rasul juga, pihak masjid turut menganjurkan penceritaan sirah Nabi Muhammad SAW membabitkan lebih 10 penceramah yang dijemput setiap hari.

"Pengkisahan bermula dari kelahiran, semasa kecil, menerima wahyu, dakwah , perjuangan , mukjizat sehingga baginda wafat pada Isnin 12 Rabiulawal ketika berusia 63 tahun," katanya.

Beliau berkata, sejarah pemimpin teragung itu dalam penyebaran syiar Islam tidak ternilai sehingga membolehkan menjadi agama terbesar di muka bumi tambahan keperibadiannya yang tiada tandingan.

Yasin berkata, pengkisahan berkenaan antara usaha membentuk generasi muda dan komuniti supaya sentiasa mengingati baginda menerusi selawat dan mengamalkan sunahnya.

Sementara itu, jemaah Muhammad Nizam Sakri, 40 berkata, walaupun tiada perarakan Maulidur Rasul seperti sebelum ini namun program selawat dan pengkisahan sirah memberi makna besar terhadap sambutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 7:37 PM