Modric (kanan) meraikan jaringan bersama Benzema. FOTO Agensi
Modric (kanan) meraikan jaringan bersama Benzema. FOTO Agensi
Agensi

Madrid: Perancang tengah Croatia dan Real Madrid, Luka Modric percaya Karim Benzema, layak memenangi Anugerah Ballon d'Or, tahun ini.

Dalam pengumuman pada 8 Oktober lalu bagi 30 calon yang disenarai pendek untuk anugerah itu nama penyerang Perancis itu turut disenaraikan disamping beberapa bintang bola sepak dunia.

Benzema mencipta nama bersama Madrid sepanjang beberapa tahun lalu dan menjadi taruhan utama pasukan itu sejak pemergian Cristiano Ronaldo ke Juventus pada 2018.

Musim ini adalah aksi terbaik sepanjang karier Benzema apabila menjaringkan 28 gol dan menghasilkan 11 bantuan gol dalam kesemua kejohanan.

Modric yang memenangi gelaran Ballon d'Or pada 2018 memuji aksi rakan sepasukannya itu berkata saingan bagi perebutan anugerah itu sentiasa sengit.

"Ada beberapa calon yang boleh menang. Karim salah seorang daripada mereka. Dia layak untuk memenanginya dengan cara dia bermain sepanjang tahun ini dan kerana kariernya.

"Dia sentiasa berada di tahap tertinggi dan pada akhirnya, dia kini sudah memenangi gelaran (Liga Negara-Negara Eropah) bersama Perancis dan itu adalah sesuatu yang penting apabila ia membabitkan undian.

"Saya pasti dia calon pilihan. Harap-harap Karim dapat memenanginya," katanya.

Bintang Argentina, Lionel Messi mencipta rekod sebagai pemenang terbanyak dengan anugerah keenam yang diraihnya pada 2019 sebelum edisi tahun lalu dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 11:52 AM