MENDY (kanan) berjaya menyelamatkan percubaan Brentford ketika membantu Chelsea menang 1-0. FOTO Agensi
MENDY (kanan) berjaya menyelamatkan percubaan Brentford ketika membantu Chelsea menang 1-0. FOTO Agensi
AFP

London: Thomas Tuchel memuji Edouard Mendy selepas penjaga gol Chelsea itu mempamerkan persembahan menakjubkan untuk mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Brentford.

Pasukan bimbingan Tuchel tersingkir dari kedudukan teratas selepas Liverpool membelasah Watford 5-0 beberapa jam awal sebelum itu.

Bagaimanapun, Chelsea segera merampas kembali kedudukan berkenaan atas kemenangan dalam pertemuan pertama dengan jiran London barat itu selepas 74 tahun.

Gol Ben Chilwell pada masa kecederaan separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan Chelsea kemenangan keenam dalam lapan perlawanan liga.

Bagaimanapun, Chelsea terpaksa bergantung kepada beberapa aksi tangkas Mendy di hujung saingan sebelum mereka boleh memiliki kelebihan satu mata mengatasi Liverpool yang berada di tangga kedua.

"Mereka memberikan masalah kepada kami dengan lontaran ke dalam dan situasi bola mati. Mereka mencipta banyak peluang menjaringkan gol dan Mendy adalah wira kami untuk tidak melepaskan sebarang gol," kata Tuchel.

Menjelang lima aksi yang dikatakan tidak ada masalah untuk Chelsea meraih kemenangan, Tuchel sudah memberi amaran kepada anak buahnya bahawa jangan mengambil mudah tentangan daripada Brentford dan telahan jurulatih The Blues itu benar sama sekali.

"Kami dilihat sangat ampuh dalam tempoh 70 minit dan sangat bernasib baik pada baki 20 minit, itu kesimpulannya.

"Kami terselamat untuk meraih tiga mata dan perlu berterima kasih kepada Edouard. Ia seperti perlawanan akhir merebut piala, mereka mengambil risiko dan suasana perlawanan membakar semangat mereka.

"Ia sangat melegakan untuk kekal di tangga teratas tapi banyak pasukan yang menghampiri kami," kata Tuchel.

Lima bulan lalu ketika Chelsea memenangi Liga Juara-Juara, pada hari yang sama Brentford mengesahkan slot melonjakkan diri ke Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 1947.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 8:48 AM