JORDAN Mintah (kanan) menjadi taruhan Terengganu FC bertemu Selangor FC malam esok. FOTO TFC
JORDAN Mintah (kanan) menjadi taruhan Terengganu FC bertemu Selangor FC malam esok. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan menumpaskan Selangor FC pada aksi pusingan pertama dan kedua Liga Super musim ini bukan jaminan buat Terengganu FC (TFC) mudah menjinakkan skuad itu apabila dua pasukan berkenaan bakal bertembung dalam aksi kedua saingan Piala Malaysia Kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Sebaliknya pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain akui cabaran sengit bakal dihadapi anak buahnya untuk memburu kemenangan ketika prestasi terkini skuad The Red Giants berada pada tahap terbaik.

Malah lebih menggerunkan kem TFC kelibat penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Ifedayo Olusegun yang dilihat bakal menjadi ancaman utama jika tidak dikawal ketat pemain pertahanan.

Namun Nafuzi ada ramuan tersendiri selain menuntut anak buahnya berusaha lebih keras lagi untuk memburu kemenangan kerana sedar skuad kendalian Karsten Neitzel hadir dengan prestasi berbeza terutama selepas menumbangkan Perak FC 1-0 pada aksi pertama Ahad lalu.

"Bagi saya aksi liga dan Piala Malaysia adalah berbeza, jadi kemenangan dalam dua perlawanan pusingan pertama dan kedua liga tidak boleh dijadikan ukuran, ia sudah menjadi sejarah, tambahan pula skuad Selangor kini berada pada tahap terbaik berbanding ketika TFC menang dalam saingan liga sebelum ini.

"Selangor juga pasukan paling berjaya dalam kancah Piala Malaysia dengan merangkul kejuaraan sebanyak 33 kali, pasukan itupun sebenarnya lebih baik berbanding TFC.

"Apapun kita akan cuba memberikan aksi terbaik untuk menyaingi pasukan itu yang memiliki reputasi yang hebat dalam pentas Piala Malaysia lebih-lebih lagi penyerang utamanya, Olusegun adalah pemain berbahaya dan semua tahu kualiti yang ada padanya dengan muncul penjaring terbanyak musim ini, sudah pasti pergerakan pemain ini perlu dikawal ketat," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau bakal melakukan rombakan dan perubahan taktikal berdepan skuad itu, Nafuzi akui sedang memikirkan strategi terbaik dalam misi mengutip tiga mata selepas berjaya menumpaskan Kuching City FC (KCFC) 2-0 pada aksi pertama.

"Kita akan melakukan perubahan taktikal sebab pertemuan dengan Kuching City Ahad lalu adalah berbeza berbanding skuad Selangor, jadi kita harapkan semua pemain perlu bekerja lebih keras lagi selain menuntut jentera serangan lebih bijak menghidu peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Pertemuan dua pasukan itu dilihat menarik kerana masing-masing memiliki 'senjata' berbahaya dengan Selangor sudah pasti mengharapkan sentuhan Olusegun manakala TFC menagih ketajaman penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini, Jordan Mintah yang dijangka bakal diturunkan sebagai penyerang utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 11:41 AM