AKSI perlawanan antara KL City FC menentang KDA FC. FOTO Ihsan Facebook KDA FC
AKSI perlawanan antara KL City FC menentang KDA FC. FOTO Ihsan Facebook KDA FC
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Siapa kata bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali dah berkarat dan tamat tempoh apabila dia sebaliknya membuktikan bahawa dirinya masih memiliki sentuhan berbisa di depan gawang lawan.

Ia terbukti dalam aksi menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang juga calon naib juara Liga Super musim ini di mana penyerang veteran berusia 37 tahun itu meledak satu daripada dua gol yang dijaringkan KL City malam kelmarin.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, tuan rumah meraih kemenangan 2-1 bagi membolehkan mereka mempertahankan rekod bersih tanpa kekalahan di gelanggang sendiri sepanjang musim ini.

Sudah pasti individu paling gembira dengan aksi Safee adalah pengendali pasukan, Bojan Hodak yang mengakui bekas pemenang kasut emas Piala AFF 2010 itu masih memiliki kualiti sebagai penyerang tulen.

"Walaupun ada yang menyangka dia (Safee) sudah tidak sesuai untuk bermain di Liga Super dan dilihat lebih sesuai di Liga Perdana, tetapi dia membuktikan sebaliknya.

"Di mana sepanjang 45 minit babak pertama, dia menunjukkan kualiti yang bagus dan dia tahu bila masa sesuai untuk menonjolkan dirinya dan bila nak jaringan gol.

"Safee tahu bagaimana untuk bermain…dia menggunakan peluang (beraksi) dengan baik dan masih berkualiti," katanya pada sidang media selepas perlawanan kedua-dua pasukan.

Dalam aksi itu, skuad Warga Kota terlebih dulu mendahului menerusi sepakan penalti Romel Morales pada minit keenam sebelum Safee meledak dengan gol kedua di minit k-26.

Pelawat tidak mengaku kalah apabila penyerang import, Tchetche Kipre merapatkan kedudukan lapan minit kemudian namun keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat aksi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 1:41 PM