JDT meraikan kejayaan memenangi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
JDT meraikan kejayaan memenangi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jika semua kelab Liga Malaysia (Liga M) diuruskan dengan penuh profesional dan bersistematik, tidak mustahil kedudukan Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh tergugat sekali gus bakal menghadirkan persaingan lebih kompetitif setiap musim.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, semua pasukan Liga M sebenarnya mampu menjadi seperti skuad Harimau Selatan sekiranya diuruskan dengan betul.

Katanya, setiap pesaing dalam liga tempatan mempunyai peluang seimbang untuk mencabar kejuaraan, namun tidak semuanya bergerak mengikut acuan bola sepak moden yang tepat.

"Semua (semua pasukan dalam Liga M ada potensi besar seperti JDT). Jikalau diuruskan dengan cara yang betul," katanya menjawab persoalan peminat di laman sosial miliknya.

JDT yang dijenamakan semula daripada nama asal Johor FC pada 2013 bergerak cukup pantas apabila mengalami perubahan sistem pengurusan dan pentadbiran yang profesional selepas Tunku Ismail mengambil alih pasukan pada musim itu.

Hasilnya, setahun kemudian JDT muncul juara Liga Super pada musim 2014 buat kali pertama di samping turut menjadi satu-satunya kelab yang memiliki stadium dan pusat latihan sendiri tanpa bantuan pihak kerajaan.

Kini selepas lapan tahun, JDT terus menguasai Liga M dengan terbaru mengekalkan kejuaraan trofi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut selain beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) sebanyak tiga kali serta muncul juara Piala AFC pada 2015.

Revolusi dibawa JDT tampaknya sudah mula diikuti beberapa pasukan seperti Terengganu FC dan Selangor FC yang sudah mula mempunyai fasiliti pusat latihan sendiri.

Sementara itu, Tunku Ismail berpandangan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) antara pencabar terkuat dalam Liga M dan mengakui, skuad Helang Merah itu pasukan yang hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 6:24 PM