MBAPPE berbual dengan Lionel Messi selepas aksi menentang Reims.
MBAPPE berbual dengan Lionel Messi selepas aksi menentang Reims.
Agensi

London: Kylian Mbappe dilaporkan kekal di Paris Saint-Germain pada musim panas ini selepas Real Madrid 'menyerah kalah' dan menarik diri daripada berunding dengan kelab Perancis itu.

Kelab La Liga itu membuat tawaran akhir untuk menandatangani Mbappe sebelum tamat jendela perpindahan minggu lalu tetapi bidaan awal £137 juta ditolak dan meningkatkan tawaran kepada £145j beserta £9j bayaran tambahan namun tetap tidak menarik minat PSG.

Menurut media Perancis, L'Equipe, tawaran kelab Sepanyol itu tamat jam 5pm waktu UK. Laporan di Sepanyol menyebut Real sedia meningkatkan harga kepada £172j tetapi L'Equipe berkata PSG menafikan menerima tawaran itu.

Laporan mendakwa Real tidak membuat tawaran lain dan memutuskan menarik diri daripada sebarang rundingan.

PSG terdesak mengekalkan pemain berusia 22 tahun itu tetapi berisiko kehilangannya menerusi perpindahan percuma pada musim panas depan.

Kontrak Mbappe berakhir penghujung musim ini dan belum lagi menandatangani perjanjian lanjutan dan hatinya tampak sudah terpaut dengan Bernabeu.

Pengarah Sukan PSG, Leonardo pula berang dengan usaha Real memikat Mbappa dan mendakwa cara Real adalah salah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 9:57 AM