MBAPPE dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. FOTO AFP
MBAPPE dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. FOTO AFP
AFP

Paris: Kylian Mbappe tidak terganggu dengan khabar angin perpindahan ke Real Madrid, tegas jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, hari ini.

Pemenang Piala Dunia dari Perancis itu sudah sekian lama dikaitkan dengan perpindahan ke Real, yang cuba memikatnya sejak zaman remaja sebelum dia menyertai kelab pertamanya, Monaco.

Kontrak semasanya bersama PSG akan berakhir hujung musim ini.

Pemain itu dan PSG sedang mengadakan perbincangan untuk melanjutkan kontraknya namun stesen televisyen Sepanyol, Cuatro pada minggu ini mendakwa Mbappe mahu berhijrah ke Real dan sudah pun mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak bersama PSG.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh sumber terdekat dengan Mbappe yang menyatakannya kepada stesen penyiar Perancis, RMC Sport.

"Ia sesuatu yang kita akan hadapi di peringkat tertinggi. Apabila kita bercakap mengenai kelab gergasi dan pemain hebat seperti Kylian, pastinya akan ada khabar angin," kata Pochettino pada sidang media.

"Paling penting ialah Kylian tenang dan fokus membantu pasukan untuk mencapai objektif.

"Dia sangat matang di sebalik umurnya yang masih muda dan dia serta kelab sedang berusaha mencapai persetujuan bagi membolehkan Kylian kekal untuk tempoh yang lama.

"Inilah yang dimahukan oleh kelab. Kami tidak boleh mengawal segala-galanya yang berlaku di luar kelab tetapi semua itu tidak memberikan kesan kepada pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 10:13 AM