PENGENDALI Pahang, Dollah gembira selepas skuad itu menang 2-1 ke atas Kedah pada aksi Liga Super, malam tadi. FOTO ASROL AWANG
PENGENDALI Pahang, Dollah gembira selepas skuad itu menang 2-1 ke atas Kedah pada aksi Liga Super, malam tadi. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji kebangkitan yang dipersembahkan anak buahnya selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Tiga mata yang diraih itu juga meletakkan kedudukan lebih selesa terutama mengelak berada di zon penyingkiran dalam saingan Liga Super musim ini.

"Tahniah kepada semua pemain kerana memberikan yang terbaik untuk kembali mencatat kemenangan selepas seri 2-2 berdepan Felda United FC minggu lalu.

"Kami sebenarnya menguasai permainan pada separuh masa pertama tetapi satu kesilapan dan serangan balas yang dilakukan lawan, mereka dapat menjaringkan gol pendahuluan.

"Tetapi saya bangga dengan pemain kerana tidak berputus asa dan meneruskan permainan dengan baik yang menyaksikan kedudukan 1-1 sebelum tamat separuh masa pertama," katanya.

Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, kemenangan ke atas Kedah juga memberikan suntikan semangat kepada anak buahnya untuk bermain lebih bagus pada baki dua perlawanan akan datang.

Katanya, misi skuad Tok Gajah lebih bertumpu kepada satu perlawanan ke satu perlawanan untuk memastikan fokus tidak terjejas.

"Saya percaya baki dua perlawanan berdepan Perak dan Terengganu FC (TFC), kami akan mengutip mata maksimum untuk berada pada kedudukan terbaik dalam saingan liga musim ini," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, dua gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan Adam Reed dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim minit ke-40 dan 46, manakala gol tunggal Kedah dijaringkan Tchetche Kipre pada minit ke-15.

Selepas sembilan perlawanan, skuad Tok Gajah menghuni kedudukan keenam liga dengan mengutip 13 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 1:07 PM