KYLIAN Mbappe. FOTO Agensi
KYLIAN Mbappe. FOTO Agensi
AFP

Paris: Lille semakin hampir merangkul gelaran juara Ligue 1 dalam tempoh sedekad namun Kylian Mbappe mengatakan Paris Saint-Germain perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal mempertahankan gelaran berkenaan.

PSG berjaya merangkul gelaran juara liga Perancis itu sebanyak tujuh dari lapan musim dan mereka dijangka melakukannya sekali lagi kerana memiliki sumber kewangan yang besar hasil suntikan daripada pemilik kelab Qatar itu.

Biarpun mereka memiliki dua pemain termahal dalam sejarah bola dunia iaitu Mbappe dan Neymar, skuad kendalian Mauricio Pochettino kini menghuni kedudukan kedua, ketinggalan tiga mata di belakang Lille yang masih mempunyai dua perlawanan.

Kini kelab dari utara itu hanya memerlukan empat mata dari dua perlawanan terakhir bagi dinobatkan sebagai juara buat kali pertama sejak 2011 hasil keputusan seri 1-1 PSG di Rennes hujung minggu lalu serta kemenangan 3-0 Lille di Lens.

"Jika kami tidak berjaya memenangi gelaran juara liga ia kerana kami gagal memenanginya berbanding mereka yang menang," kata Mbappe selepas PSG menewaskan Montpellier pada pertengahan minggu untuk mara ke final Piala Perancis.

Komen dari Mbappe menerima kecaman terus dan dia kemudian menerusi media sosial menjelaskan apa yang dimaksudkannya itu.

"Lille akan menjadi juara jika mereka menang, tetapi dengan lapan kekalahan, jika kami gagal kami bertanggungjawab sepenuhnya," kata Mbappe.

Lille, yang mengumpul empat mata daripada keseluruhan enam berdepan Paris musim ini, juga boleh menang liga berbaki satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 2:59 PM