RONALDO ketika hadir di Pusat Perubatan J di Turin kelmarin. FOTO EPA
RONALDO ketika hadir di Pusat Perubatan J di Turin kelmarin. FOTO EPA
AFP

Milan: Massimiliano Allegri menegaskan Cristiano Ronaldo semakin bersemangat menghadapi musim baharu sekali gus menamatkan spekulasi masa depan kapten Portugal itu.

Allegri, 53, kembali ke Juve sebagai jurulatih selepas dua tahun dipecat walaupun menjuarai gelaran liga kelima berturut-turut. Namun dia menerima padah akibat gagal di Liga Juara-Juara yang kali terakhir dimenangi pada 1996.

Allegri membawa masuk penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Ronaldo ke Turin pada 2018 dengan misi menjuarai gelaran Eropah selepas hanya muncul naib juara pada 2015 dan 2017.

"Ronaldo? Dia kembali dengan motivasi lebih hebat,'' kata Allegri mengenai pemenang lima kali Ballon d'Or itu yang dikaitkan dengan Paris Saint-Germain.

"Ronaldo seorang juara yang hebat, pemain luar biasa dan bijak. Saya bercakap dengannya sama seperti pemain lain.

"Saya beritahu dia tahun ini sangat penting dan saya gembira dapat bersamanya semula. Dia mempunyai tanggungjawab lebih besar berbanding tiga tahun lalu kerana kami mempunyai skuad sangat berpengalaman ketika itu.

"Hari ini selain kualiti di atas padang, saya mengharapkan lebih daripadanya dari segi tanggungjawab.''

Allegri memenangi 11 trofi ketika setengah dekad bersama Juventus selain menjuarai Serie A dengan AC Milan pada 2011.

Sementara itu, presiden kelab Andrea Agnelli mengesahkan kapten veteran Giorgio Chiellini sedia menandatangani kontrak baharu selepas mengetuai Itali menjuarai Euro 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 7:56 AM