NEYMAR (kiri) akan bertembung dengan Messi pada aksi final esok. FOTO AFP
NEYMAR (kiri) akan bertembung dengan Messi pada aksi final esok. FOTO AFP
Agensi

Rio de Janeiro: Menjelang aksi final Copa America antara Brazil dengan Argentina esok, Neymar menyelar sikap rakyat Brazil yang tidak menyokong pasukan kebangsaan sendiri.

Ini adalah kali pertama pertemuan kedua-dua pasukan di pentas final sejak 2007 dan ketika Brazil menjadi tuan rumah, ada penyokong mereka yang mahu melihat Lionel Messi meraih trofi pertama di kejohanan utama bersama skuad kebangsaan.

Bagaimanapun Neymar enggan ambil pusing dengan penyokong Brazil yang mengalihkan kesetiaan mereka menjelang aksi final di Stadium Maracana.

"Saya rakyat Brazil yang berasa bangga dan cintakan negara," tulis Neymar di Instagram miliknya.

"Impian saya adalah sentiasa mahu beraksi bersama skuad kebangsaan Brazil dan mendengar sorakan penyokong.

"Saya tidak pernah menyerang atau akan menyerang Brazil jika mereka bertanding, sama ada ia dalam sukan atau pertandingan lain termasuk Oscars.

"Jika ia Brazil, saya bersama Brazil. Jika ada penyokong berkelakuan sebaliknya, tidak mengapalah. Saya akan menghormatinya."

Neymar sudah menjaringkan dua gol iaitu ketika dua aksi peringkat kumpulan bertemu Venezuela dan Peru.

Meskipun dia gagal menjaringkan gol selepas itu, Brazil masih mampu melepasi cabaran Chile dan kemudian Peru pada aksi kalah mati sekali gus semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 8:48 AM