BEK kiri England, Luke Shaw (kanan) bersama Harry Kane dan Declan Rice (kiri) selepas perlawanan dengan Scotland di Wembley, malam tadi. FOTO AFP.
BEK kiri England, Luke Shaw (kanan) bersama Harry Kane dan Declan Rice (kiri) selepas perlawanan dengan Scotland di Wembley, malam tadi. FOTO AFP.
AFP

London: Luke Shaw menegaskan kapten England, Harry Kane masih penyerang terbaik dunia sekalipun bermula hambar pada kempen Euro 2020.

Kane digantikan dua kali selepas persembahan kurang bertenaga dan gagal menjaringkan gol buat England pada dua perlawanan awal Kumpulan D.

Selepas dikeluarkan 15 minit sebelum perlawanan tamat, Kane kelihatan hilang punca ketika berada di bangku simpanan pada aksi berakhir 0-0 dengan Scotland di Wembley, semalam.

Penyerang Tottenham itu tiba-tiba mengalami penurunan prestasi selepas bergelar penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris.

Malah, dia turut memenangi Kasut Emas pada Piala Dunia 2018 dan menjadi sasaran perpindahan bagi juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City.

Tetapi, dia hilang punca apabila pemain tengah England gagal membuka peluang untuknya menjaringkan gol pada perlawanan semalam.

Ditanya sama ada dia bimbang dengan prestasi Kane, bek kiri England, Shaw berkata: "Tiada masalah langsung dan bagi saya secara peribadi, dia masih penyerang terbaik di dunia.

"Dia adalah bahagian penting dalam pasukan, malah bahagian terpenting. Saya fikir walaupun dia tidak berada pada tahap terbaik atau sebaliknya, dia tetap pemain utama kami.

"Kami tetap perlukannya sama ada ketika prestasinya sama seperti diharapkan atau tidak kerana perkara ini biasa berlaku dalam kejohanan bola sepak.

"Anda boleh menjaringkan gol pada bila-bila masa dan dia adalah pemain penting bukan saja di padang, tetapi di luar padang. Dia mendapat sokongan penuh daripada kami dan saya tidak bimbang langsung dengan prestasinya pada masa ini."

Selepas aksi di bawah prestasi ketika menentang Scotland, England kini memiliki empat mata dan keputusan seri dengan Republik Czech pada perlawanan terakhir kumpulan pada Selasa ini sudah memadai untuk mara ke pusingan kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 9:05 PM