PEMAIN tengah England, Declan Rice bermain dart pada program bersama media di London, hari ini. FOTO AFP.
PEMAIN tengah England, Declan Rice bermain dart pada program bersama media di London, hari ini. FOTO AFP.
AFP

London: Declan Rice menyifatkan terlalu banyak diperkatakan mengenai kekurangan gol England di Euro 2020, tetapi dia yakin mereka memiliki bakat berkelas dunia yang akan menjaringkan banyak gol pada ketika kejohanan berterusan.

Anak buah Gareth Southgate yang akan berdepan Jerman pada aksi pusingan kedua di Wembley, Selasa ini, mara selaku pendahulu Kumpulan D menerusi dua gol dijaringkan Raheem Sterling.

Ia berbeza dengan pasukan juara kumpulan lain seperti Itali dan Belgium yang menjaringkan tujuh gol manakala Belanda memiliki lapan gol di peringkat kumpulan.

"Saya rasa ramai orang terlalu memikirkan mengenai perkara itu," kata pemain tengah, Rice, mengenai jumlah gol dijaringkan England untuk mara ke pusingan kedua.

"Kami muncul juara kumpulan, tidak bolos dan ia memang menarik kerana banyak pasukan ternama lain dibolosi banyak gol.

"Jika anda mahu mara dan memenangi kejohanan, anda tidak harus dibolosi.

"Kami perlu menghalang bola masuk ke gawang sendiri, tetapi pada masa sama perlu tajam di bahagian serrangan. Kami memiliki bakat kelas the dunia, kami sentiasa menunjukkannya."

Rice berkata, menyaksikan jaringan Frank Lampard yang tidak dikira ketika menentang Jerman di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, adalah pengalaman boleh dijadikan contoh.

Rembatan Lampard melepasi garisan gol pada ketika England ketinggalan 1-2 di pusingan kedua, tetapi ia tidak dikira dan Jerman kemudiannya mara hasil kemenangan 4-1.

"Memang menyakitkan hati apabila jaringan Lampard itu tidak dikira," kata pemain West Ham itu.

"Saya fikir, semua orang sedar kepentingan perlawanan dengan Jerman dan bagaimana kami fokus untuk menghadapinya."

Rice, 22, berkata dia gembira jika diminta mengambil sepakan penalti menentang Jerman, sekalipun England memiliki pengalaman kurang menarik dalam penentuan sepakan penalti.

"Saya mungkin berkata tidak, beberapa tahun lalu, tetapi saya sudah mula memikul tanggungjawab untuk kelab dan melalui proses menguatkan minda, jadi saya akan tampil mengambil peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

"Sudah tentu kami berjaya ketika penentuan penalti di Piala Dunia 2018 dan Liga Negara, jadi sebagai satu kumpulan kami sudah melalui proses sepatutnya."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 12:53 AM