PESSINA disenaraikan dalam skuad Itali pada saat akhir. FOTO Agensi
PESSINA disenaraikan dalam skuad Itali pada saat akhir. FOTO Agensi
Agensi

Rome: Matteo Pessina meraih salah satu detik terbaik dalam hidupnya beberapa hari lalu apabila menjaringkan gol kemenangan Itali ke atas Wales bagi memastikan Azzurri menamatkan saingan peringkat kumpulan di Euro 2020 dengan sembilan mata penuh.

Tetapi pemain tengah Atalanta itu enggan mendabik dada dan menganggap masih banyak perlu dilakukan untuk kekal konsisten di depan gawang lawan.

Pessina yang bergaji paling rendah dalam skuad Itali dengan pendapatan tahunan 400,000 euro (RM1.98 juta) disenaraikan dalam skuad Azzurri pada saat akhir selepas mereka kehilangan Stefano Sensi akibat kecederaan sebelum kejohanan.

"Ia seperti kisah dongeng kepada saya. Ia perlawanan sempurna, kali pertama tampil di Kejohanan Eropah dan menjaringkan gol. Menjadi impian ketika zaman kanak-kanak. Saya tidak tidur seminggu," kata Pessina yang berusia 24 tahun.

"Pencapaian saya ini menunjukan pemain dari Serie C mampu beraksi untuk pasukan kebangsaan jika mereka sedia berkorban.''

Pessina yang tampil kali pertama di Monza 2014 menyertai AC Milan pada 2015 dan berpindah ke Lecce, Catania, Como dan Atalanta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 8:31 AM