AKSI Sterling menjaringkan gol menerusi tandukan ketika menentang Republik Czech. FOTO EPA
AKSI Sterling menjaringkan gol menerusi tandukan ketika menentang Republik Czech. FOTO EPA
AFP

London: Raheem Sterling berkata England tidak gentar menentang mana-mana pasukan pada peringkat 16 terakhir Euro 2020 selepas menewaskan Republik Czech 1-0 untuk mengetuai Kumpulan D, awal pagi tadi.

Kemenangan di Wembley bermakna England mungkin berdepan juara dunia Perancis, juara bertahan Portugal atau Jerman pada peringkat kalah mati.

England dikritik hebat selepas tumpul ketika seri 0-0 dengan Scotland tetapi kembali bangkit dengan serangan lebih berbisa pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

"Saya fikir terdapat aspek positif dalam perlawanan ini," kata Sterling yang juga menjaringkan gol untuk England ketika menang 1-0 ke atas Croatia dalam aksi pertama.

"Kami menguasai bola dengan lebih baik hari ini. Ia memberi kami lebih pilihan serangan. Kami tutup ruang, bermain dengan bagus dan berjaya mendapatkan gol yang amat diperlukan."

Sterling turut memuji Jack Grealish dan pemain terbaik perlawanan Bukayo Saka yang dibawa masuk untuk menambah sengat di bahagian serangan.

"Memang berkesan ada pemain seperti ini di sekitar anda yang boleh mencipta peluang,'' katanya. "Pemain berbeza diperlukan untuk perlawanan berbeza dan kedua-duanya terbukti berkesan dan menjalankan tugas dengan baik.

"Paling penting kami juara kumpulan. Ini kejohanan bola sepak dan memang sukar tetapi kami perlu lakukan seperti dirancang.''

Penyerang Manchester City itu tidak bimbang dengan aksi peringkat 16 terakhir di Wembley minggu depan.

"Ada ketikanya anda perlu berdepan pasukan terbaik,'' katanya. "Ia mengenai cabaran kepada diri sendiri."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:54 AM