SHERMAN azam buru gol bertemu Sri Pahang FC pada aksi pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok. FOTO TFC
SHERMAN azam buru gol bertemu Sri Pahang FC pada aksi pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman bertekad untuk membuka 'akaun' jaringan pertamanya bersama skuad baharunya itu musim ini.

Dia yang bakal bergandingan dengan sahabatnya, Kipre Tchetche ketika bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), selama dua musim sebelum ini bagaikan tidak sabar untuk membantu skuad Penyu menentang Sri Pahang FC pada aksi pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok.

Bagaimanapun penyerang kebangsaan kelahiran Liberia berusia 30 itu akui bukan tugas mudah untuk merobek kubu skuad Tok Gajah yang dikawal penjaga gol kebangsaan Mali, Mamadou Samassa.

"Saya tiada tekanan, sebagai penyerang sudah pasti tugas saya ialah menjaringkan gol untuk membantu pasukan merakam kemenangan, tapi terus-terang saya katakan lawan pasukan yang bagus, saya kenal pemain mereka.

"Jurulatih mereka juga bagus, jadi pertemuan pertama dengan Sri Pahang FC pada malam esok bukan mudah, tapi saya berikrar untuk meledak seberapa banyak jaringan sebagai penawar seorang penyerang.

"Lagipun kombinasi saya dengan Tchetche baik dan tidak ada masalah mengenai keserasian dan persefahaman kerana sudah dua musim bersama, begitu juga dengan pemain tempatan walaupun baharu bersama, harap tiga mata dapat diraih.

"Saya juga berazam untuk memburu penjaring terbanyak musim ini lebih-lebih lagi skuad kami bagaikan satu keluarga besar saling faham memahami lebih-lebih kami bermula dengan baik dalam aksi pemanas badan," katanya ketika ditemui ketika sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.

Mengulas lanjut, Sherman menjelaskan dia mahu menjulang sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan musim ini selain membantu pasukan layak beraksi di pentas Piala AFC sebagaimana ketika membantu KDA FC musim lalu.

"Ya saya mahu menang piala bersama TFC musim ini, ini azam saya walaupun ia tanggungjawab yang besar perlu kami pikul," kata pemain yang pernah beraksi dengan 14 kelab lain sebelum ini.

Sepanjang dua musim bersama KDA FC pada 2020 dan 2021, penyerang berketinggian 1.83 meter itu meledak 19 gol sepanjang 28 penampilannya bersama skuad Lang Merah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 12:28 PM