COOLS sudah menyertai sesi latihan skuad negara. FOTO FAM
COOLS sudah menyertai sesi latihan skuad negara. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penjaga gol utama Harimau Malaya, Farizal Marlias menolak andaian kemasukan tonggak baharu, Dion Cools pada saat akhir sebagai 'virus' pasukan.

Sebaliknya dia menganggap kemunculan bintang yang beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama FC Midtylland itu mampu memantapkan pasukan.

Jelas Farizal, kesemua 25 pemain yang sudah berkumpul lebih awal sejak beberapa minggu lalu menyambut baik kehadiran Cools yang cukup dikenali itu menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emirah Arab Bersatu (UAE) bermula Jumaat ini.

"Pemain-pemain menerima dia dengan tangan terbuka. Bagi saya ia bukan untuk nak jadi virus kepada pasukan tapi nak menambah baik kepada pasukan dari segi bahagian pertahanan.

"Jadi semua yang saya lihat mereka terima dengan positif dan saya yakin pemain-pemain lain juga mungkin akan beri yang terbaik kerana kita tak tahu siapakah yang akan diberi kepercayaan untuk bermain, saya percaya pemain akan beri yang terbaik," katanya.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan kehadiran tonggak pertahanan kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools untuk membantu pasukan pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Cools yang beraksi bersama FC Midtylland antara pemain dari Asia yang berjaya merasai bahang aksi UCL musim ini untuk berdepan dengan kelab-kelab terkemuka dunia seperti Liverpool, Ajax Amsterdam dan Atalanta.

Berdasarkan kemampuan Cools, dia dilihat mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan negara sama ada di bahagian kanan mahupun tengah untuk digandingkan bersama ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

"Saya pun baru pertama kali jumpa dia. Saya akui teruja sebab apa yang kita nampak, dia ada reputasi yang hebat bermain di luar negara, jadi saya mengharapkan pengalamannya itu dapat dikongsikan dengan pemain lain," kata penjaga gol Johor Darul Ta'zim itu.

Malaysia dijadual mengharungi kempen kelayakan bermula bertemu UAE sebelum turun menentang Vietnam dan Thailand, dengan masing-masing berlangsung awal pagi Sabtu ini, 12 Jun dan 16 Jun pada jam 12.30 pagi waktu Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 8:50 PM