NEYMAR mengakui  tidak pernah mempunyai hubungan dengan mangsa. FOTO AFP
NEYMAR mengakui tidak pernah mempunyai hubungan dengan mangsa. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Neymar berkata dakwaan Nike bahawa punca kedua-dua pihak berpisah tahun lalu kerana dia enggan memberi kerjasama berkaitan siasatan dalaman serangan seksual, adalah satu pembohongan yang tidak masuk akal.

Tuduhan itu adalah yang terbaru untuk mencemarkan imej bintang Brazil berkenaan yang mencatat perpindahan €222 juta (RM1.18 bilion) dari Barcelona ke Paris Saint Germain pada tahun 2017 sekali gus menjadikannya pemain bola sepak termahal di dunia.

Nike berkata sebelum ini bahawa mereka menamatkan perjanjian penajaan dengan Neymar selepas pekerjanya membuat laporan dengan menuduh pemain itu ingin mencabulnya dan enggan memberi kerjasama dalam siasatan kes berkenaan.

"(Untuk) menyatakan bahawa kontrak saya (dengan Nike) ditamatkan kerana saya tidak memberi kerjasama dalam siasatan adalah pembohongan yang tidak masuk akal.

"Saya tidak diberi kesempatan untuk mempertahankan diri. Saya tidak diberi peluang untuk mengetahui siapa mangsa berkenaan. Saya bahkan tidak mengenalnya. Saya tidak pernah mempunyai hubungan dengan mangsa," tulis Neymar di Instagram.

Nike mengatakan serangan itu berlaku pada tahun 2016, tetapi hanya dilaporkan kepada syarikat pada tahun 2018.

Syarikat pakaian sukan gergasi Amerika Syarikat (AS) menaja Neymar, 29, sejak berusia 13 tahun.

Nike tidak memberikan alasan ketika menamatkan perjanjian dengan Neymar pada bulan Ogos 2020.

Bintang bola sepak itu kini menjadi poster untuk Puma dan perjanjiannya dengan gergasi pakaian sukan Jerman berk eediumumkan pada September 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 10:24 AM