SKUAD Sabah gigih jalani latihan.
SKUAD Sabah gigih jalani latihan.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto tidak menolak kemungkinan akan membawa masuk pemain import tempatan baharu ke dalam skuadnya bagi menghadapi baki saingan Liga Super.

Bagaimanapun, katanya, belum ada kata putus dibuat terutama daripada pihak pengurusan berhubung perkara berkenaan.

''Ya memang ada perbincangan dengan pemain import tempatan itu tetapi sampai sekarang belum ada pengesahan atau kata putus dari pihak pengurusan,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Antara pemain yang disebut-sebut bakal menyertai Sabah FC termasuk Syazwan Andik dari Johor Darul Ta'zim (JDT) yang boleh bermain di posisi pertahanan atau tengah.

Difahamkan, pemain berkenaan akan berpindah ke Sabah secara pinjaman sehingga tamat musim ini.

Terdahulu, Kurniawan berkata, skuad kendaliannya akan berlatih seperti biasa mengikut kesesuaian dan program yang telah ditetapkan.

Ini kerana, katanya, Sabah FC mempunyai masa yang agak panjang sehingga saingan bersambung semula, dijangka Julai depan.

''Kami telah mulakan latihan secara normal mengikut program yang telah disusun dan sesuai dengan jadual Liga Super yang mana masih lama lagi. Bagaimanapun, sementara menunggu saingan bersambung semula, kita akan tetap mempersiapkan pasukan agar sentiasa berada di tahap terbaik,'' katanya.

Selepas mengharungi 13 perlawanan, Sabah FC kini berada di kedudukan ketujuh dengan 16 mata hasil empat kemenangan, empat seri dan lima kekalahan.

Aksi Sabah FC seterusnya ialah bertemu PJ City di gelanggang lawan yang dijangka berlangsung sekitar Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 6:14 PM