AB Ghani setiap pegawai dan pemain yang menyertai ‘Camp Base Traning’ tidak dibenarkan keluar atau berjumpa dengan individu lain. FOTO NSTP
AB Ghani setiap pegawai dan pemain yang menyertai ‘Camp Base Traning’ tidak dibenarkan keluar atau berjumpa dengan individu lain. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan setakat ini hanya sembilan pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang mendapat lampu hijau untuk menjalani latihan secara 'Camp Based Training' sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan, pasukan Liga Super yang mendapat kebenaran adalah membabitkan Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Johor Darul Ta'zim (JDT), Sri Pahang FC dan UiTM FC.

Beliau berkata, Liga Perdana pula membabitkan JDT II, Terengganu II, Selangor II dan Sarawak United yang kini boleh menjalani latihan menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Katanya, setiap pegawai dan pemain yang menyertai 'Camp Base Traning' tidak dibenarkan keluar atau berjumpa dengan individu lain bagi mengelak penularan Covid-19.

"Setiap pasukan wajib mendapat kebenaran daripada MFL untuk mengadakan latihan berdasarkan 'Camp Based Traning' dan jika gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan susulan.

"Kami mahu mewujudkan suasana yang lebih selamat dengan kawalan lebih ketat iaitu tidak mahu pemain atau pegawai dijangkiti Covid-19.

"Setakat ini, MFL tidak menerima sebarang aduan berkaitan ada pasukan menjalani latihan tanpa mendapat kelulusan kita dan jika ada mereka mungkin dikenakan tindakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sesi latihan pasukan Liga M diperketatkan lagi dengan mereka hanya dibenarkan menjalani latihan menerusi kaedah 'Camp Based Training' sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ghani berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM mengambil langkah itu dalam usaha mengekang penularan Covid-19 yang semakin serius di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kaedah 'Home Based Training' tidak lagi diguna pakai untuk pasukan yang berada dalam PKP di mana mereka dikehendaki mematuhi 'Camp Based Training' sahaja selepas MFL mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 12:01 AM