SOLSKJAER (tengah) mengucapkan tahniah kepada Cavani yang menjaringkan gol ketiga. FOTO AFP
SOLSKJAER (tengah) mengucapkan tahniah kepada Cavani yang menjaringkan gol ketiga. FOTO AFP
AFP

Birmingham: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memuji barisan pemainnya yang menangguhkan hasrat Manchester City untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana apabila bangkit melakar kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa, semalam.

Kekalahan akan menyebabkan United yang melalui satu daripada tiga perlawanan dalam tempoh lima hari, bakal menyaksikan City dinobat selaku juara liga.

Seteru setempat mereka itu tampak menghampiri impian itu selepas Bertrand Traore menjaringkan gol pembukaan untuk Villa pada pertengahan separuh masa pertama.

Bagaimanapun United kembali bangkit dengan meledak dua gol dalam tempoh empat minit di babak kedua menerusi Bruno Fernandes yang menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti sebelum Mason Greenwood meletakkan United di depan.

United mengesahkan kemenangan hasil gol pemain gantian, Edinson Cavani tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan United ketinggalan 10 mata di belakang City selaku pendahulu dengan berbaki empat perlawanan liga.

Bagaimanapun United akan bertemu Leicester dan Liverpool selepas ini dan kekalahan ke atas salah satu daripada perlawanan itu akan menyaksikan City dinobatkan selaku juara liga.

"Keputusan yang bagus dan ia mengurangkan sedikit tekanan kerana dua perlawanan selepas ini adalah lawan yang bagus.

"Sekurang-kurangnya kami menangguhkan parti 'pasukan biru' hari ini (semalam)," kata Solskjaer.

Beliau juga berpuas hati dengan barisan pemainnya yang dapat menyesuaikan diri dengan jadual ketat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:39 AM