HIDALGO antara pemain import baharu Sri Pahang. FOTO Asrol Awang
HIDALGO antara pemain import baharu Sri Pahang. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pemain import baharu Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo gembira apabila aksi pertama dalam saingan Liga Super membantu pasukan itu seri 2-2 berdepan Selangor FC, kelmarin.

Pemain tengah itu berkata, kejayaan menjaringkan satu gol juga menambah lagi keyakinan untuk mempamer prestasi lebih baik dalam saingan liga itu.

"Sebenarnya saya belum lagi cergas sepenuhnya tetapi berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan pada perlawanan menentang Selangor.

"Pada perlawanan pertama ini, saya amat gembira dan percaya mampu memberikan yang lebih baik pada perlawanan seterusnya," kata pemain berumur 22 tahun itu.

Ketika seri 2-2 berdepan Selangor, Hidalgo menceriakan peminat setia Tok Gajah apabila menjaringkan gol pendahuluan dan jaringan Abdul Malik Mat Ariff pada minit akhir perlawanan berpunca daripada hantaran pemain kelahiran Argentina itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh tidak menjangkakan Hidalgo dapat beraksi sepanjang 90 minit perlawanan.

Katanya, komitmen pemain tengah itu membuktikan semangat untuk

membantu Sri Pahang mencatat keputusan terbaik walaupun kecergasan belum mencapai tahap terbaik.

"Sebenarnya, kehadiran Hidalgo atas usaha Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (pemilik Sri Pahang FC) yang menguruskan kemasukan pemain muda ini.

"Oleh itu, saya mengharapkan Hidalgo serta tiga pemain import baharu dapat membentuk persefahaman mantap bersama pemain lain dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam saingan liga," katanya.

Tiga pemain import berkenaan ialah Aung Kaung Mann dari Myanmar, Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Anthiu (Australia).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 12:16 PM