PENYOKONG United menceroboh masuk di dalam padang Old Trafford. FOTO AFP
PENYOKONG United menceroboh masuk di dalam padang Old Trafford. FOTO AFP
AFP

London: Ole Gunnar Solskjaer meminta penyokong yang melakukan protes lebih beradab selepas demonstrasi anti Glazer Ahad lalu menyaksikan perlawanan antara Manchester United dengan Liverpool terpaksa ditangguhkan.

Penyokong berang terhadap pemilik dari Amerika Syarikat itu susulan pembabitan perancangan membentuk Liga Super Eropah (ESL) yang kemudiannya gagal.

Sekumpulan penyokong berjaya menceroboh ke dalam stadium Old Trafford manakala satu kumpulan lagi menyatakan kekecewaan mereka di hotel pasukan dekat tengah bandar.

"Ia hari yang sukar untuk kami," kata Solskjaer menjelang pertemuan separuh akhir kedua Liga Europa bertemu Roma di Itali.

"Sudah pasti kami mahu beraksi, kami mahu menewaskan Liverpool untuk penyokong kerana tugas kami adalah meraih keputusan terbaik di atas padang.

"Inilah fokus pemain dan saya, tetapi seperti yang saya katakan sebelum bermulanya perlawanan, kami harus mendengar luahan peminat.

"Kami harus mendengar suara mereka. Setiap orang ada hak untuk melakukan protes. Tapi ia perlu dilakukan dengan penuh beradab dan tidak membawa kekecohan.

Pengendali dari Norway itu menambah: "Malangnya bila anda menceroboh masuk dan anggota polis mengalami kecederaan, ia sudah melampau.

"Apabila perkara seperti ini berlaku, ia sudah menjadi kes polis. Ia bukan lagi mahu menunjukkan pandangan anda."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 9:24 AM