OZIL mengajak peminatnya menghayati bulan Ramadan. FOTO IG Mesut Ozil
OZIL mengajak peminatnya menghayati bulan Ramadan. FOTO IG Mesut Ozil
Agensi

Ankara: Bintang Fenerbahce, Mesut Ozil sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada pengikutnya di media sosial untuk terus menghayati nikmat berpuasa dan beribadah di bulan Ramadan.

Pemenang Piala Dunia bersama Jerman itu berkata, Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan, pengampunan, rahmat dan kebebasan.

"Pada bulan suci ini, banyakkan berdoa dan beramal. Selamat menyambut Ramadan kepada anda semua.

Allah tidak pernah mengharapkan kita menjadi sempurna pada bulan Ramadan, tetapi dia mengharapkan kita untuk terus berusaha," tulisnya di media sosial miliknya.

Ozil juga seorang pemain Muslim yang lantang memperjuangkan isu penindasan kaum dan etnik Islam di seluruh dunia.

"Kita perlu sama-sama berjuang, terutama di negara seperti Myanmar. Berdoa untuk mereka yang tidak selamat sekarang. Berdoa untuk saudara Rohingya kita. Sudah tiba masanya untuk bersuara," katanya.

Bekas bintang Arsenal itu sebelum ini menderma sebanyak 101,000 euro (RM498,000) kepada pasukan Bulan Sabit Merah Turki untuk kempen bantuan yang dijalankan pada bulan Ramadan.

Bulan Sabit Merah Turki dalam satu kenyataan berkata, derma yang disumbangkan oleh Ozil itu digunakan untuk menyediakan 2,800 bungkusan makanan kepada golongan yang amat memerlukan di Turki.

Selain itu, 1,000 bungkusan makanan di hantar ke Indonesia, 750 bungkusan lagi untuk Muslim Rohingya di kem pelarian di Bangladesh.

Kenyataan itu turut berkata, juadah berbuka juga akan diberikan kepada anak yatim di Syria dan ibu kota Somalia, Mogadishu sepanjang bulan suci itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 1:39 PM