AB Ghani mengingatkan pemain mengelak berada di tempat sesak seperti bazar Ramadan. FOTO Bernama
AB Ghani mengingatkan pemain mengelak berada di tempat sesak seperti bazar Ramadan. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiada maaf buat mana-mana kelab Liga Malaysia (Liga M) yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) hingga menyebabkan berlakunya penularan wabak Covid-19 di dalam pasukan.

Antara hukuman yang bakal dikenakan terhadap pasukan adalah dengan pemotongan mata atau memberi kemenangan percuma buat pasukan lawan sekiranya didapati wujud kes positif Covid-19 dalam kalangan pemain mereka.

Amaran keras itu diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan buat semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) sambil menjadikan kes jangkitan membabitkan pemain badminton negara sebagai peringatan.

Katanya, pengurusan pasukan mesti memastikan pemain mereka sentiasa berada dalam gelembung sukan supaya tidak terdedah dengan jangkitan Covid-19.

Malah, beliau mengingatkan pemain mengelak berada di tempat sesak seperti bazar Ramadan, pusat beli-belah atau majlis keraian bagi mengelak daripada dijangkiti.

"Apa yang berlaku kepada pemain badminton itu perlu dijadikan peringatan buat semua pasukan dan pemain yang beraksi dalam Liga M.

"Kita tidak mahu Liga M pula terkena disebabkan oleh kes Covid-19 atau ada perlawanan yang terpaksa ditangguhkan akibat pandemik ini.

"Jika terdapat pemain yang gagal patuhinya hingga disahkan positif serta mengakibatkan perlawanan tidak dapat dijalankan, kita tidak teragak-agak untuk memotong mata atau beri kemenangan percuma kepada pasukan lawan," katanya.

Pada minggu lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan enam pemain kebangsaan diuji positif Covid-19 dan susulan kes yang berlaku itu, BAM membuat keputusan untuk terus menangguhkan sesi latihan skuad senior dan remaja sehinggalah keadaan benar-benar selamat untuk mereka kembali berlatih.

Jumlah positif itu kemudiannya meningkat kepada 15 orang pada Ahad lalu di mana semua yang berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara terus menjalani kuarantin kendiri mengikut protokol yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sehingga diberitahu kelak.

Ketika ini, kempen Liga M sudah memasuki fasa pertengahan dan akan meneruskan saingan liga di pusingan kedua membabitkan 12 pasukan Liga Super dan 11 pasukan Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 8:39 PM