NKETIAH (kiri) melakukan percubaan ke arah pintu gol Real. Nketiah meledak tiga gol pada aksi pramusim. — FOTO Reuters
NKETIAH (kiri) melakukan percubaan ke arah pintu gol Real. Nketiah meledak tiga gol pada aksi pramusim. — FOTO Reuters
Reuters

SEKALIPUN belum membuat pembelian besar pada musim panas ini, Arsenal menamatkan jelajah Amerika Syarikat tanpa kalah dan bersemangat selepas beberapa pemain muda tampil menyerlah.

Protes penyokong mencemari permulaan jelajah pramusim Arsenal ke seluruh AS, dengan petisyen dilancarkan 16 laman web penyokong mendapat lebih 100,000 tandatangan dalam masa beberapa hari.

Pemilik Stan Kroenka dan Kroenke Sports & Entertainment (KSE) menjadi sasaran kemarahan itu ketika penyokong tidak berpuas hati dengan prospek musim ketiga berturut-turut dalam Liga Europa dan berasa tidak diendahkan lembaga pengarah kelab itu.

Di padang, bagaimanapun keputusannya kekal positif. Selepas mudah mengatasi Colorado Rapids pada aksi pembukaan jelajah, Arsenal menewaskan Bayern Munich sebelum mengatasi kelab Itali, Fiorentina dalam cuaca panas berbahang di Charlotte.

WILLOCK (kiri) berebut bola dengan bintang Real Madrid, Luka Modric di Landover, Maryland, pagi tadi. — FOTO AFP
WILLOCK (kiri) berebut bola dengan bintang Real Madrid, Luka Modric di Landover, Maryland, pagi tadi. — FOTO AFP

Apa yang mengagumkan mengenai tiga kemenangan itu kecuali satu gol, semua tujuh gol Arsenal dijaringkan oleh pemain muda.

Keyakinan jurulatih Unai Emery terhadap pemain berusia 20 tahun, Eddie Nketiah dan pemain remaja Bukayo Saka, Joe Willock dan Gabriel Martinelli ternyata berbaloi apabila semua empat pemain itu meledak gol.

Pemain dari London, Nketiah menyumbat tiga gol dan kelihatan tidak sukar menyesuaikan diri dalam pasukan senior.

“Pemain yang hadir dari akademi amat istimewa,” kata Saka selepas kemenangan ke atas Fiorentina. “Generasi kami boleh berada dalam pasukan Arsenal dan menggegar dunia.”

OZIL (kanan) selesa dengan peranannya sebagai kapten Gunners. — FOTO arsenal.com
OZIL (kanan) selesa dengan peranannya sebagai kapten Gunners. — FOTO arsenal.com

Menentang Real Madrid pada aksi terakhir jelajah pagi tadi, Emery memberikan peluang kepada pasukan senior dan ketika mereka mensia-siakan pendahuluan dua gol serta kalah menerusi penentuan penalti selepas seri 2-2, masih banyak yang menggembirakan pengendali dari Sepanyol itu.

“Benar, kami amat gembira menamatkan perlawanan hari ini dengan semangat sama seperti aksi sebelum ini,” kata Emery.

“Anda juga boleh melihat pemain berbeza turun beraksi, meraih keyakinan. Perlawanan sebegini untuk mencari rentak dan bermain bersama dengan pemain muda, bergabung, memberikan mereka peluang.”

Penyerang Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette kedua-duanya menjaringkan gol manakala kapten Mesut Ozil kelihatan gembira dengan peranannya selepas bergelut dengan konsisten musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 2:09 PM