PEMAIN Negeri Sembilan, Beomgeun Bae (kiri) diasak dua pemain Projek FAM-MSN dalam aksi  Liga Perdana di Paroi. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
PEMAIN Negeri Sembilan, Beomgeun Bae (kiri) diasak dua pemain Projek FAM-MSN dalam aksi Liga Perdana di Paroi. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Skuad Projek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara (MSN), Yusri Che Lah mahu semua pihak terus beri sokongan kepada skuad ubi muda negara itu.

Beliau berkata, ketika ini barisan pemain muda negara dalam usaha untuk dibentuk dengan memberi peluang kepada mereka beraksi di saingan kompetitif demi masa depan masing-masing.

"Sudah tentu ada tekanan untuk pasukan tiada mata tetapi perlu dilihat, pemain yang beraksi dalam pasukan ini tiada pengalaman dalam Liga Super dan Piala Presiden sebelum ini. Jadi berilah andaian adil kepada pemain dan sokongan diperlukan untuk memajukan bola sepak. Pemain perlu disokong supaya mereka dapat kembali ke landasan sebenar.

"Jika peluang tidak diberikan kepada mereka, saya rasa kita akan kekurangan pemain," katanya.

Pada masa sama, bekas jurulatih Kelantan itu mengakui dia terpaksa mengubah pendekatan dalam corak permainan pasukan itu bagi mengelak pasukan itu daripada terus 'dibuli' dan dibolosi dengan jaringan besar.

"Selepas empat perlawanan awal, kita bermain secara terbuka. Kita perlu faham senario di mana pemain ini tidak berpengalaman dan kalau setiap perlawanan berakhir dengan jaringan besar, ini akan memudaratkan semangat pemain.

"Jadi kita perlu menukar sedikit pendekatan dan kehadiran kita dalam pertandingan ini adalah untuk tahu bagaimana corak permainan kita. Kalau kita main secara terbuka, saya rasa banyak peluang akan diperoleh pasukan lawan," katanya.

Sebelum ini, lima kekalahan berturut turut dialami pasukan itu menyaksikan bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim menggesa FAM supaya menarik keluar barisan pemain muda terbabit bagi mengelak keyakinan mereka 'dirosakkan' dengan siri keputusan negatif.

Bagaimanapun, pendapat Teong Kim disanggah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM, Datuk S Sivasundaram yang memberi bayangan pihaknya tiada merancang untuk membatalkan penyertaan pasukan itu dalam Liga Perdana.

Sementara itu, Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berharap skuad terbabit tidak terus menjadi 'bahan utama' untuk dihentam dan dipertikaikan oleh pihak tertentu sekali gus akan menjejaskan prestasi mereka ketika ini.

Kim Swee berkata, ketika ini terlalu awal untuk meletakkan 'hukuman' atau menghentam inisiatif berkenaan walaupun pasukan itu gagal mengutip sebarang mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 11:54 PM