DANIAL  Ashraf  (tengah) diasak dua  pemain UiTM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
DANIAL Ashraf (tengah) diasak dua pemain UiTM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain tengah Penang FC, Danial Ashraf Abdullah mengakui perlu berusaha lebih keras untuk terus mendapatkan kepercayaan pengendali, Thomas Trucha bagi memperagakan aksi dalam skuad utama pada perlawanan Liga Super.

Dalam tiga perlawanan pertama terdahulu, bekas pemain Kelantan itu sekadar memanaskan bangku simpanan sahaja sebelum berjaya untuk mendapatkan minit permainan dalam aksi menentang UiTM FC pada 16 Mac lalu.

Namun, kemampuannya lebih terserlah pada perlawanan menentang Selangor FC pada 23 Mac lalu yang menyaksikan Danial kali pertama berada dalam kesebelasan utama berjaya mendapatkan gol sulungnya sekali gus membantu pasukan menang 2-0 untuk membawa pulang tiga mata.

Apa yang pasti, pemain berusia 24 tahun itu mengharapkan peluangnya lebih cerah untuk mendapatkan minit permainan selepas ini dan tekad terus memperbaiki diri supaya dapat memberi impak positif kepada pasukan.

"Kita sebagai pemain kena ada sikap untuk bersaing secara sihat antara satu sama lain dalam pasukan, jadi kalau dari segi persaingan terutama dengan pemain import, memang mencabar dan terpulang kepada jurulatih untuk memutuskan siapa yang patut ada dalam kesebelasan utama.

"Bagi saya, gol memang penting bukan saja untuk kepuasan diri sendiri tetapi juga buat pasukan, jadi apabila kita dah menjaringkan gol dan itu adalah gol kemenangan, memang lagi membuak-buak untuk buat benda sama lepas ni.

"Kalau dari segi keserasian, jujurnya belum cukup lagi sebab saya baru beraksi dalam dua perlawanan, jadi kalau lepas ni jurulatih bagi peluang lagi kepada saya, saya percaya tahap kesefahaman akan lebih tinggi berbanding sebelum ini", jelasnya.

Penang FC ketika ini dilihat semakin konsisten untuk berada di tangga keempat liga selepas lima perlawanan dan hanya mengalami satu kekalahan ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bakal berdepan Perak FC pada Sabtu ini, Danial tidak menganggap ia satu kelebihan meskipun skuad kendalian Chong Yee Fatt itu sedang bergelut mencari kemenangan selepas berdepan dua kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 9:48 PM