Aksi Liga Perdana babitkan Perak FC II menentang NSFC. FOTO Ihsan Perak FC
Aksi Liga Perdana babitkan Perak FC II menentang NSFC. FOTO Ihsan Perak FC
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Negeri Sembilan FC (NSFC) kembali bangkit melakar kemenangan apabila menewaskan Perak FC II, 2-0 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Perak, hari ini.

Selepas rentak kemenangan skuad kendalian K Devan tersekat apabila diikat 2-2 oleh Terengganu FC II, Sabtu lalu, skuad NSFC tidak menunggu lama untuk mendahului apabila pemain tengah, R Barathhkumar meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-19.

Berselang dua minit kemudian, penyerang dari Brazil, Rafael Gomes De Oliveira hampir menambah gol pelawat apabila tandukannya terkena palang ketika penjaga gol tuan rumah G Yuganes sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, hujan lebat tidak menjejaskan rentak permainan apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan.

Namun, gawang tuan rumah sekali lagi bolos apabila Alain Thierry Akono mengukuhkan kedudukan buat pelawat menerusi gol kedua pada minit ke-59.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel tamat dibunyikan.

Kemenangan juga membolehkan NSFC kini mengumpul 10 mata sekali gus merampas kedudukan teratas daripada Sarawak United dengan kelebihan satu mata tetapi bermain lebih satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 8:49 PM