Aksi pemain Sarawak United (jersi hitam) dan JDT II di Stadium Hang Jebat,  Paya Rumput. FOTO Syafeeq Ahmad
Aksi pemain Sarawak United (jersi hitam) dan JDT II di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. FOTO Syafeeq Ahmad
Nazri Abu Bakar


Melaka: Sarawak United melonjak ke tangga teratas Liga Perdana selepas berjaya mengatasi Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 1-0 di Stadium Hang Jebat , Paya Rumput sebentar tadi.

Jaringan penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha lima minit sebelum tamat sudah cukup untuk Sarawak kembali unggul di persada liga.

Malah kekalahan mengejut kepada PDRM 0-2 di gelanggang sama dua minggu lalu jelas menjadi pengajaran buat anak buah jurulatih E Elavarasan untuk bertindak lebih agresif pada saingan kali ini.

Beraksi di padang basah dengan pergerakan bola yang kerap tersekat selepas hujan lebat bagaimanapun bukan halangan untuk aksi menarik kedua-dua pasukan.

Hasilnya seawal minit ke-5 percubaan Christe Jayaselan menggegar palang pelawat sementara rembatan Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke- 11 berjaya diselamatkan penjaga gol JDT II, Muhammad Haziq Nadzli.

Selebihnya, pelawat lebih banyak menguasai permainan sehingga menekan Sarawak yang lebih banyak berkubu di kawasan sendiri.

Bagaimanapun, percubaan pelawat menerusi Fernando Otega pada minit ke-41 dan tandukan Muhamad Firdaus Ramli seminit selepas itu gagal memecah kebuntuan jaringan.

Babak kedua memperlihatkan aksi seimbang buat kedua pasukan dalam usaha mereka meraih jaringan pendahuluan namun setiap gerakan gagal membuahkan hasil.

Ia termasuk rembatan Jayaselan buat Sarawak (m-60) dan dua percubaan JDT menerusi Mahammad Firdaus m-67 tersasar diikuti sepakan Stuart Wilkin (m-70) berjaya ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah Mohd Sharbinee Allawee.

Peluang terbaik buat skuad Borneo hadir menerusi Norshahrul pada minit ke-73 namun rembatan dari dalam kotak penalti itu berjaya ditepis Haziq.

Namun pengalaman jelas membataskan usaha JDT II untuk meledak jaringan walaupun menguasai permainan dengan akhirnya Norshahrul berjaya merembat kencang.

Gol kemenangan pada minit ke-85 untuk mengutip mata maksimum di laman sendiri. Keputusan itu menyaksikan Sarawak melompat ke persada liga dengan mengumpul 20 mata memintas Negeri Sembilan yang kini di tangga kedua dengan 18 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:19 AM