TONGGAK utama import dari Perancis, Nirennold (berdiri dua dari kiri) menjadi kapten pasukan musim ini. FOTO Ihsan UiTM FC
TONGGAK utama import dari Perancis, Nirennold (berdiri dua dari kiri) menjadi kapten pasukan musim ini. FOTO Ihsan UiTM FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Berstatus pasukan 'akademik' atau universiti tidak menghalang UiTM FC untuk lebih ghairah memburu kedudukan lebih cemerlang dengan membariskan pemain lebih mantap bagi memperkuatkan pasukan musim ini.

Boleh dianggap sebagai kuasa baharu Liga Super, kedudukan keenam dalam saingan Liga Super musim lalu sudah cukup memberi amaran bahawa pasukan itu bukanlah boleh dianggap sebagai belasahan atau hanya mencukupkan kuota saja.

Selepas mengekalkan Frank Bernhardt untuk terus membimbing skuad ini, tonggak utama import dari Perancis yang turut menjadi kapten pasukan musim lalu, Victor Nirennold juga kekal bersama UiTM FC untuk mengemudi bahagian pertahanan.

Nirennold mempamerkan prestasi memuaskan untuk memastikan benteng pertahanan kekal ampuh apabila hanya dibolosi 15 gol secara keseluruhan pada musim lalu dalam saingan Liga Super

Menurut Bernhardt, pemain berusia 30 tahun itu cukup berpengalaman dan keputusannya untuk terus kekal berbakti bersama pasukan sememangnya memberi bonus kepada UiTM FC untuk terus memperkuatkan benteng mereka sekali gus menjadi pencabar sengit kepada lawan.

"Saya mempunyai empat pemain utama seperti Faizal Mohd Arif, Ahmad Khuzaimi Piee, Afif Asyraf dan Nirennold di mana mereka semua ini mempunyai pengalaman besar dan terbukti membantu pasukan dengan baik musim lalu.

"Saya yakin, kami semua baik pemain baharu dan lama yang dikekalkan akan terus mampu mendominasi setiap perlawanan selepas ini dan mereka akan tempuhinya dengan lebih baik.

"Ini selepas saya menilai prestasi mereka dalam beberapa aksi perlawanan persahabatan dan kami akan bersedia untuk harungi sepak mula nanti," katanya.

Selain Nirennold, UiTM FC turut mengumumkan empat pemain import baharu termasuklah penjaga gol dari Croatia, Dominik Picak, penyerang baharu dari Ghana, Nana Poku, bekas pemain Kelantan dari Lubnan, Abou Bakr Al-Mel dan juga bekas pemain import Pahang, Adam Reed.

Skuad ini juga diperkuatkan oleh lapan pemain tempatan baharu iaitu Khairul Asyraf Sahizah (Perak II), Mohd Khairul Rizam Che Soh (Kelantan), Dirga Surdi (PDRM), Muhammad Farid Nezal (PDRM), Muhd Hardee Shamsuri (Pahang), Mohd Alif Najmi (Perak II), Mohd Fauzi Abdul Latif (Negeri Sembilan) dan Mohd Khairul Izuan (Kelantan United FC).

UiTM FC akan menerima kunjungan skuad kendalian Nafuzi Zain, Terengganu FC untuk aksi Liga Super yang akan berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam pada 6 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 10:07 PM