PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain tetap positif bersaing dalam kancah Liga Super musim ini. FOTO Malik Muhamad
PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain tetap positif bersaing dalam kancah Liga Super musim ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu; Terengganu FC (TFC) tidak mahu mencipta alasan sebaliknya tetap positif selain sudah bersedia untuk mempamerkan taring sebenar biarpun jadual perlawanan Liga Super yang dikeluarkan semalam dilihat sedikit padat.

Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain berkata, beliau sudah menjangkakan jadual perlawanan padat, namun barisan kejurulatihan sudah merangka strategi terbaik untuk mengharungi cabaran liga musim ini.

"Walaupun tempoh pra-musim yang singkat dan hanya sempat mengaturkan beberapa perlawanan persahabatan sahaja, ini bukanlah menjadi alasan kerana pasukan lain juga turut melalui situasi sama kesan daripada wabak pandemik Covid-19.

"Lagipun kami sudah menjangkakan jadual yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) padat musim ini, namun kami sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan itu dengan merangka apa yang perlu dilakukan.

"Kami harapkan pemain mampu cepat membentuk gandingan dan keserasian yang mantap menjelang Liga Super pada 5 Mac depan lebih-lebih lagi pasukan bakal bersaing dalam kancah Piala AFC," katanya.

Nada sama turut diluahkan pengurus pasukan, Zulfadli Rozi yang meletakkan harapan tinggi agar pemain mampu memperagakan aksi terbaik biarpun tempoh latihan tidak mencukupi.

"Pertemuan pertama dengan UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam pada 6 Mac depan harus dimanfaatkan sebaik mungkin pemain untuk meraih kemenangan pertama kerana ia mampu menaikkan moral selain memastikan momentum pasukan berada pada tahap terbaik untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

"Kita tidak mahu episod musim lalu berulang apabila kita merekod kekalahan pada aksi pertama di laman sendiri selepas tumpas 1-3 kepada Perak.

"Jadi pemain perlu memerah keringat untuk merekod kemenangan pada aksi pertama itu bagi mengumpul mata sebelum perlawanan bakal dihentikan kerana pemain terpilih akan menjalani latihan bersama skuad kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 12:31 PM