Jurulatih Johor Darul Takzim, Benjamin Mora. FOTO File NSTP
Jurulatih Johor Darul Takzim, Benjamin Mora. FOTO File NSTP
Rizar Mohd Noor


JUARA Piala Sumbangsih, Johor Darul Ta'zim (JDT) enggan menganggap pendatang baharu dalam saingan Liga Super, UiTM FC mudah ditewaskan sebaliknya bersikap waspada dengan penampilan pasukan itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pengendali JDT, Benjamin Mora menegaskan walaupun faktor keletihan yang menghantui barisan pemainnya selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat namun itu bukan penghalang untuk memberi persembahan terbaik tatkala aksi liga elit bersambung selepas mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia, baru-baru ini.

“Saya mahukan pemain cergas terutama aspek fizikal dan mental dan percaya mereka tidak berdepan masalah untuk kembali berada di tahap memuaskan.

“Namun saya tidak bimbang kerana beberapa pemain seperti Leandro (Velazquez), Matthew (Davies) dan Liridon (Krasniqi) bersedia kembali beraksi.

"Mungkin akan ada penggiliran pemain dan ia langkah terbaik bagi memastikan pemain yang mengharungi tiga perlawanan dalam masa terdekat mendapat rehat yang secukupnya dan memberi peluang kepada pemain yang tidak diturunkan sebelum ini.

"Di atas kertas UiTM FC mungkin bukan tandingan tetapi pasukan seperti ini yang kita harus berjaga-jaga kerana mereka akan turun habis-habisan untuk membuktikan kepada peminat bola sepak, mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan di Liga Super," katanya.

Tambahnya, JDT sudah mengkaji corak permainan UiTM FC dan tampak begitu berdisiplin ketika beraksi dan beberapa pemain pasukan itu juga memiliki corak permainan pantas.

Mengenai status kecederaan kapten Hariss Harun yang tidak diturunkan pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang kelab Korea, Suwon Bluewings selepas mengalami kecederaan, Mora masih belum pasti pemain itu dapat diturunkan pada pertembungan menentang UiTM FC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:34 PM