HONG Wan sudah berada di Johor Bahru. FOTO IG Nathaniel Shio Hong Wan
HONG Wan sudah berada di Johor Bahru. FOTO IG Nathaniel Shio Hong Wan
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua dah dapat 'dipancing' dan kini hanya tinggal sekurang-kurangnya dua lagi pemain warisan berbakat besar yang masih berpangkalan di luar negara untuk disunting beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam kejohanan di peringkat antarabangsa.

Selepas pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools berjaya meraih penampilan pertama dengan skuad senior negara kelmarin, kini seorang lagi pemain warisan berdarah China-Malaysia, Nathaniel Shio Hong Wan ketika ini sudah berada di Johor Bahru.

Hong Wan, 20, yang sebelum ini beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers atau lebih dikenali dengan Wolves akan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas beberapa musim dengan skuad B-23 Wolves.

Maka, tidak mustahil selepas ini pemain tengah itu bakal mengikut jejak Cools untuk memperkuatkan barisan skuad Harimau Malaya yang juga negara kelahiran ibunya yang berasal dari Tangkak.

Menerusi hantaran terbaharu Hong Wan, dia kini sedang menjalani proses kuarantin wajib sebelum boleh menyertai latihan dengan JDT dalam masa terdekat.

"Jumpa anda tidak lama lagi," tulisnya hari ini di laman Story Instagram bersama emoji biru dan merah yang juga warna rasmi skuad Harimau Selatan.

Malah, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mengesahkan Hong Wan sudah berada di negara ini ketika menjawab soalan peminat di laman Story Instagram miliknya, semalam.

Dua lagi pemain yang berpotensi untuk dibawa adalah pemain muda di EPL bersama kelab Brighton & Hove Albion, Jaami Qureshi, manakala seorang lagi iaitu Wan Kuzain Wam Kamal yang beraksi di Amerika Syarikat dengan pasukan Rio Grande Valley dalam saingan Kejuaraan USL.

Kedua-dua pemain ini berpotensi untuk menghidupkan enjin tengah Harimau Malaya yang dilihat agak 'kaku' dan tiada idea terutama apabila bersaing di peringkat antarabangsa bertemu negara-negara terkuat di Asia.

Untuk rekod, Jaami cukup cemerlang bersama skuad B-17 Brighton & Hove Albion apabila baru-baru ini memimpin pasukannya menjuarai Piala Liga Premier B-17 England dengan menewaskan Middlesbrough di pentas akhir.

Begitu juga dengan Wan Kuzain apabila bulan lalu meledak gol cantik hasil gerakan solo dari bahagian tengah untuk mengatasi tiga pertahanan San Antonio FC bagi menghadiahkan kemenangan sekaligus meletakkan Rio Grande di tangga teratas carta Kejuaraan USL Mountain Division ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 6:50 PM