IRFAN bakal bergandingan dengan Sulaiman untuk mengendalikan Kuching City FC. FOTO NSTP
IRFAN bakal bergandingan dengan Sulaiman untuk mengendalikan Kuching City FC. FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Gandingan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan pembantunya Sulaiman Hussin bakal menjadi 'senjata' buat pasukan Kuching City FC dalam misi membantu pasukan itu mengintai peluang beraksi dalam pentas Liga Super musim depan.

Malah pengalaman Irfan Bakti yang pernah membantu Terengganu FC muncul naib juara Piala Malaysia pada 2018 selain menjuarai Piala FA juga bersama skuad itu pada 2011 sedikit sebanyak bakal memberi kelebihan kepada pasukan Kuching City FC.

Begitu juga dengan pengalaman Sulaiman yang mula melatih pasukan UKM FC sejak 2008 sehingga berjaya membantu skuad itu muncul naib juara Piala Cabaran pada 2018 dan 2019.

Irfan ketika dihubungi menyatakan pengalaman yang dimiliki Sulaiman berjaya menarik minatnya untuk menyenaraikan jurulatih itu sebagai pembantunya musim ini.

"Kemampuan Sulaiman ketika membawa pasukan UKM FC dalam kancah Liga Perdana sebagai antara pencabar utama berjaya menarik minat saya bergandingan dengannya.

"Beliau juga berjaya melahirkan ramai pemain muda berkualiti dalam pasukan UKM.

"Dengan kehadiran beliau sudah pasti bakal memberi impak yang positif buat pasukan dan kami akan berusaha bersama-sama bagi merealisasikan impian untuk berada di pentas Liga Super musim depan," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini Kuching City FC sudah melengkapkan kuota empat pemain importnya dengan tiga daripadanya adalah pemain kelahiran Brazil iaitu Aylton Alemao, Hudson Dias dan Leonardo Alves manakala seorang lagi tonggak kelahiran Jepun, Yuta Suzuki yang beraksi di posisi tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:00 PM