Irfan Bakti Abu Salim
Irfan Bakti Abu Salim
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas lebih 26 tahun bergelar jurulatih, pengendali Kuching City FC (KCFC), Irfan Bakti Abu Salim bakal mengumumkan persaraannya mulai tahun depan.

Bagaimanapun bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan, beliau mahu menyelesaikan terlebih dahulu misinya bersama skuad KCFC musim ini.

Jurulatih yang pernah membantu pasukan Terengganu muncul juara Piala FA pada 2011 itu mahu menamatkan kariernya dengan noktah cemerlang iaitu membawa pasukan The Cats itu beraksi dalam saingan Liga Super musim 2023.

"Tahun ini Insya-Allah adalah tahun terakhir saya bergelar jurulatih bola sepak selepas lebih 26 tahun bergiat aktif dalam bidang itu sejak berumur 45 tahun lagi.

"Lagipun dengan memasuki usia 72 tahun musim depan, saya rasa sudah tiba masanya untuk berehat dalam sukan yang diminati ini sekali gus memberi peluang kepada jurulatih lain untuk meneruskan kerjaya mereka dalam bidang kejurulatihan ini," kata Irfan Bakti ketika dihubungi.

Irfan Bakti yang mempunyai lesen kejurulatihan Pro A sebelum ini pernah berkelana ke Indonesia pada 2007 melatih kelab Persipura Jayapura sebelum kembali dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) membimbing skuad Perlis setahun kemudian.

Sepanjang kariernya, sebanyak sepuluh pasukan sudah mendapat sentuhan jurulatih paling senior dalam Liga M itu termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Telekom Melaka, FELDA United dan Penang FC.

Mengenai persiapan pasukannya musim ini, Irfan Bakti yang dibantu Sulaiman Hussin masih menanti kelibat dua lagi penyerang import bagi melengkapkan senarai pemain KCFC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 9:15 PM