AGUERO (dua kanan) bersama Lamborghini  Aventador miliknya. FOTO Agensi
AGUERO (dua kanan) bersama Lamborghini Aventador miliknya. FOTO Agensi
Agensi

London: Sergio Aguero mengakui menyesal membeli sebuah kereta mewah Lamborghini Aventador bernilai £361,000 (RM1.98 juta) yang jarang dipakai dan kini hanya diselubungi sarang labah-labah.

Penyerang Manchester City itu berkata, tidak semestinya jenama kereta mewah membuatkan mereka yang memilikinya teruja untuk memandu.

Bintang berusia 32 tahun itu memberitahu stesen televisyen Argentina, Santo Sabado: "Saya tidak tahu kenapa saya membeli Lamborghini itu.

"Saya hanya memandu sekitar 1,200km dalam tempoh enam tahun. Bermakna saya sangat jarang memandu kereta itu.

"Sejak dua tahun lalu, saya mula rasa menyesal membeli kereta itu. Kini satu-satunya fungsi kereta itu hanyalah melindungi saya daripada kesejukan kerana hujan. Ia kini diselubungi sarang labah-labah," katanya.

Aguero memperoleh gaji £250,000 (RM1.3 juta) seminggu dengan gaji tahunannya sekitar £13 juta (RM71.5 juta).

Jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan untuk bekas penyerang Atletico Madrid itu membeli kereta jenama mewah.

Aguero dikatakan mempunyai koleksi kereta mewah bernilai £800,000 (RM4.4 juta) secara keseluruhan.

Dia membeli Aventador itu pada 2014 sebelum mencantikkannya dengan pelbagai aksesori menarik di luar dan di dalamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 10:09 AM