PENYERANG Inter, Lautaro Martinez berjaya melepaskan diri daripada kawalan. FOTO  AFP
PENYERANG Inter, Lautaro Martinez berjaya melepaskan diri daripada kawalan. FOTO AFP
AFP

Milan: Inter Milan terlepas peluang untuk menguasai tangga teratas Serie A apabila tewas 1-2 di Sampdoria sekali gus mengakhiri lapan kemenangan berturut-turut.

Alexis Sanchez gagal menyempurnakan penalti buat pasukan Antonio Conte yang akhirnya dihukum oleh gol hasil jaringan bekas pemain Inter Antonio Candreva dan Keita Balde.

Inter kini di tempat kedua satu mata di belakang pendahulu Serie A, AC Milan yang akan melayan Juventus, Rabu ini.

"Saya minta maaf kerana saya rasa kami layak mendapat sesuatu yang lebih. Tuah tidak memihak kepada kami hari ini," kata Conte selepas kekalahan kedua liga musim ini dan kali pertama tewas kepada Milan Oktober lalu.

"Ia satu perlawanan yang pelik. Kami terlepas penalti dan terpaksa akur apabila melepaskan dua gol yang jelas memberi kesukaran bagi kami."

Peledak utama Inter, Romelu Lukaku berada di bangku simpanan kerana baru pulih daripada kecederaan otot.

Sanchez gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan pasukan pelawat di depan apabila ia diselamatkan penjaga gol Emil Audero.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 11:00 AM