RONALDO cuba melepasi kawalan pemain Cagliari, Razvan Marin. FOTO EPA
RONALDO cuba melepasi kawalan pemain Cagliari, Razvan Marin. FOTO EPA
AFP

Milan: Cristiano Ronaldo bangkit selepas dikritik dengan meledak hatrik untuk membantu Juventus mengalahkan Cagliari 3-1, lima hari selepas mereka tersingkir di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Sementara itu, Inter Milan mengukuhkan kedudukan di puncak liga Serie A dengan kelebihan sembilan mata selepas mengalahkan Torino 2-1.

Ronaldo, 36, menanduk masuk gol pertama pada minit ke-10 di Arena Sardegna, sebelum menjaringkan gol kedua melalui sepakan penalti 15 minit kemudian dan melengkapkan hatrik di minit ke-31 melalui rembatan kaki kiri.

Penyandang juara, Juventus kurang 10 mata di belakang Inter dan pasukan bimbingan Andrea Pirlo itu hanya dibezakan satu mata dengan AC Milan, yang tersentak dengan kekalahan 0-1 kepada Napoli.

"Pendekatan kami membuahkan hasil dan ia sangat penting untuk kembali bermula dengan langkah kanan selepas tersingkir sebelum ini.

"Ronaldo sangat geram begitu juga yang lain dalam pasukan, dia memberi reaksi seperti sang juara sejati," kata Pirlo.

Lautaro Martinez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 dalam aksi yang sengit ketika berdepan pasukan tangga ke-18, Torino bagi membolehkan Inter terus kekal pada landasan terbaik memburu kejuaraan liga pertama sejak 2010.

Antonio Conte sekali lagi memerlukan gandingan serangan Romelu Lukaku dan Martinez untuk mencari kemenangan di Turin.

Lukaku meletakkan Inter di depan pada minit ke-62 melalui sepakan penalti, namun Antonio Sanabria berjaya meledak gol penyamaan buat Torino lapan minit kemudian.

Martinez berjaya menanduk masuk gol kemenangan hasil hantaran lintang Alexis Sanchez untuk jaringan ke-14 musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 9:50 AM