Rabih Ataya (tengah) ketika beraksi bersama Kedah dalam saingan Liga Super. FOTO KDA FC
Rabih Ataya (tengah) ketika beraksi bersama Kedah dalam saingan Liga Super. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Skuad Kedah Darul Aman (KDA FC) melahirkan rasa bangga diatas usaha pemain tengahnya Rabih Ataya yang membantu pasukan Lubnan layak ke pusingan ketiga saingan kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2022 yang berlangsung di Dubai.

Turut menjadi tumpuan adalah sumbangan jaringan satu gol yang dihasilkan Ataya yang beraksi di bahagian sayap ketika membantu Lubnan menentang Tajikistan pada 9 Jun lalu dan diikuti beberapa aksi bantuan jaringan yang di pamerkan ketika bersama skuad berkenaan menentang Sri Lanka.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak, sumbangan gol dan penampilan terbaik yang dijelmakan Ataya untuk skuad kebangsaan negaranya dapat terus menyuntik semangat skuad Hijau Kuning seterusnya apabila kembali beraksi dalam Liga Malaysia selepas ini.

"Sudah pasti ini satu perkembangan yang bagus untuk Ataya yang telah menunjukkan aksi terbaiknya bersama negaranya dan perkembangan positif ini dapat meningkatkan moral serta semangatnya ke tahap lebih baik.

"Dengan pencapaian yang ditunjukkan di peringkat tertinggi itu, diharapkan ia dapat meningkatkan lagi tahap keyakinannya selepas ini bersama pasukan Kedah." katanya.

Turut dimaklumkan melalui kenyataan oleh media KDA FC, skuad Hijau Kuning mengucapkan tahniah kepada pemain kelahiran Lubnan berusia 31 tahun kelahiran Tyre itu diatas sumbangan yang secara tidak langsung turut menaikkan nama kelab KDA FC.

"Syabas dan tahniah kepada Rabih Ataya kerana berjaya membantu pasukan negaranya mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Pemain tengah pasukan KDA FC ini juga telah menjaringkan gol bersama pasukan kebangsaan Lubnan. Teruskan usaha Ataya !!" katanya.

Skuad kebangsaan Lubnan akan bersama 11 lagi pasukan iaitu Syria, Jepun, Australia, Korea Selatan, Arab Saudi, Iran, UAE, Oman, China, Iraq dan Vietnam turut layak ke peringkat saingan seterusnya yang akan berlangsung dari September 2021 hingga Mac tahun depan.

Melalui rekod Ataya bersama skuad Hijau Kuning pada musim ini, beliau mencatatkan 929 minit permainan menerusi 13 penampilan dengan jumlah empat bantuan jaringan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:06 PM