REZAL menasihati setiap pasukan supaya berbelanja mengikut kemampuan. FOTO NSTP
REZAL menasihati setiap pasukan supaya berbelanja mengikut kemampuan. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya berharap setiap pasukan Liga Malaysia (Liga-M) berbelanja mengikut kemampuan agar isu pembayaran gaji tidak berulang pada musim depan.

Jelasnya, keghairahan pasukan dalam melengkapkan barisan pemain adalah lumrah normal apabila tiba pra musim.

Namun, pasukan perlulah 'mengukur baju di badan sendiri' dengan tidak menawarkan kontrak di luar kemampuan agar isu tunggakan gaji dapat diatasi.

"Bila pra musim biasanya pasukan akan merangka pelan terbaik supaya mereka mampu bersaing apabila musim baharu tiba.

"Tapi kita pun sedar ada juga sesetengah pasukan kadang kala menawarkan gaji di luar kemampuan, jadi saya harap untuk musim akan datang supaya semua pihak berbelanja mengikut bajet dan kemampuan.

"Tapi saya jangkakan untuk musim depan, semua pasukan mungkin tak boleh berbelanja besar kerana semua sektor ketika ini sedang terjejas ekoran pandemik Covid-19," katanya.

Selain itu, pemain Liga-M juga dinasihatkan memilih pasukan dengan sebaiknya.

"Kalau pasukan itu pernah ada kes tunggakan gaji, jadi fikir-fikirkan lah dulu. Apapun, kena tahu isi kandungan kontrak sebelum menurunkan tandatangan," katanya.

Ketika ini, semua pasukan sedang rancak 'membeli belah' dan 'memborong' pemain bagi menghadapi saingan Liga-M yang dijadualkan membuka tirainya pada 26 Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 8:06 PM