Percubaan Roberto Firmino untuk merobek gawang gol ketika pertemuan menentang Leicester. FOTO AFP
Percubaan Roberto Firmino untuk merobek gawang gol ketika pertemuan menentang Leicester. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp berkata Roberto Firmino adalah pemain utama dalam "orkestranya" di Anfield biarpun penyerang Brazil itu kurang menjaringkan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Tandukan Firmino ketika mereka menang 3-0 ke atas Leicester Ahad lalu adalah yang keenam untuk tahun 2020.

Gol yang berjaya dijaringkan Firmino kurang daripada apa yang berjaya dilakukan oleh trio yang dimiliki Klopp, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Diogo Jota.

Pemain berusia 29 tahun itu tidak pernah dilihat mempunyai penyudah yang baik namun kritikan terhadap kekurangannya itu meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Bagaimanapun Klopp yang akan melayan kunjungan Atalanta dalam aksi Liga Juara-Juara hari ini menegaskan nilai Firmino lebih daripada hanya sekadar menjaringkan gol.

"Jaringan sentiasa penting untuk Bobby tapi Bobby adalah seorang pemain yang sempurna."

"Satu pasukan bola sepak seperti satu orkestra, anda mempunyai orang yang berbeza untuk instrumen yang berbeza dan sebahagian daripada mereka lebih menyerlah berbanding yang lain tapi mereka semua penting untuk irama.

"Bobby bermain seperti 12 alat muzik dalam orkestra kami. Dia sangat penting untuk irama kami."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 11:42 AM