Julian Nagelsmann. FOTO File Agensi
Julian Nagelsmann. FOTO File Agensi
Agensi

London: Manchester United dilaporkan mengenalpasti ketua jurulatih RB Leipzig, Julian Nagelsmann sebagai pengganti berpotensi untuk Ole Gunnar Solskjaer jika pengendali Norway itu dipecat.

Skuad Red Devils masih berharap kepada kredibiliti Solskjaer sekalipun prestasi terumbang ambing pasukan itu pada musim ini.

Sebaliknya laporan terkini mendakwa bahawa Mauricio Pochettino sudahpun dimaklumkan mengenai perpindahan ke Old Trafford.

Menurut ESPN, bekas pengurus Tottenham Hotspur, Pochettino sedang mempertimbangkan tawaran berkenaan tetapi Nagelsmann juga dilihat sebagai calon pengganti pilihan oleh beberapa bekas pemain United.

Pengendali berusia 33 tahun itu menyaksikan kekalahan teruk Leipzig, 0-5 di Old Trafford dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu, tetapi dia dikagumi ramai dengan kerjanya di Hoffenheim dan termasuk membawa skuad Red Bulls, mara ke separuh akhir Piala Eropah musim lalu.

Nagelsmann adalah pengurus termuda dalam sejarah Bundesliga apabila dia mengambil alih tugas di Hoffenheim pada 2015 ketika berusia 28 tahun, selepas terpaksa bersara awal sebagai pemain kerana mengalami siri kecederaan serius.

United yang kini berada di tangga ke-15 carta Liga Perdana Inggeris akan mengelak daripada kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua kejohanan apabila berkunjung ke Goodison Park untuk berdepan Everton hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 7:16 PM