DINIZ intai tempat dalam skuad utama Eddersheim FC.
DINIZ intai tempat dalam skuad utama Eddersheim FC.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jika di Liga Belgium, Luqman Hakim Shamsudin mencetuskan sensasi apabila meraih penampilan pertamanya dalam liga utama negara itu Jumaat lalu, seorang lagi pemain muda negara turut mencuri tumpuan apabila menyerlah di bumi Jerman.

Muhammad Diniz Irwan, 19, yang kini beraksi buat kelab Eddersheim FC bersama pasukan kedua terus mempamerkan ketajaman di depan gol apabila meledak satu gol ketika menentang SV Rot-Weiss Hadamar II yang berkesudahan kelabnya tewas 2-4.

Begitupun, Diniz yang sudah merekodkan lapan gol setakat ini semakin hampir untuk diserapkan ke dalam skuad utama Eddersheim FC yang bermain divisyen lima di liga Jerman.

"Semestinya tahap permainan dekat Liga Jerman memang laju, semua pemain mempunyai asas bermain bola yang bagus dan mempunyai fizikal mantap sebagai seorang pemain bola sepak.

"Untuk bersaing dengan mereka, saya rasa antara aspek paling penting ialah bertindak dengan menggunakan akal dan kalau nak buat sesuatu itu tak boleh ragu-ragu, 'just go for it'.

"Saya yakin peluang untuk bermain bersama pasukan lebih besar di Jerman adalah sangat besar dan ia tidak mustahil. Malah, baru-baru ini jurulatih dari pasukan pertama memberitahu saya supaya bersedia dan bila-bila masa mereka akan beri peluang," katanya eksklusif kepada Arena Metro, hari ini.

Untuk rekod, Diniz yang bermain di posisi tengah menyerang antara bakat muda yang berjaya menyerlah di Eropah selain Luqman dan Safawi Rasid di Liga Portugal bersama Portimonense SC.

Liga Jerman yang diketahui antara liga terbaik di dunia selain Liga Perdana Inggeris di England dan La Liga di Sepanyol adalah saingan yang amat kompetitif biarpun ia membabitkan liga bawahan.

Jelas Diniz lagi, dia percaya impian untuk mengetuk pintu kelab-kelab ternama di negara yang sudah memenangi empat kali Piala Dunia itu bukanlah sesuatu yang mustahil dan yakin mampu dicapai.

"Saya yakin peluang untuk bermain bersama pasukan yang lebih besar di Jerman adalah sangat besar dan ia tidak mustahil.

"Saya yakin dengan kebolehan yang ada boleh bersaing dengan pemain yang bermain dengan kelab lebih besar dan dengan adanya sokongan daripada keluarga, semestinya membakar semangat saya untuk pergi lebih jauh dalam bidang bola sepak ini".

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 9:31 PM